OGOS 2026

LAPANGAN TERBANG TANJUNG MANIS DIPERKASA PACU PELANCONGAN SARIKEI


SARIKEI, 8 Ogos 2026 – Lapangan Terbang Tanjung Manis akan diperkasa bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan di kawasan Sarikei, termasuk meneroka potensi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke destinasi unik di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, antara perancangan yang sedang diberi perhatian ialah memanjangkan landasan Lapangan Terbang Tanjung Manis bagi membolehkan pesawat dengan kapasiti lebih besar mendarat di kawasan tersebut.

Beliau berkata, peningkatan kemudahan penerbangan itu penting bagi membuka akses lebih luas kepada kawasan berpotensi pelancongan seperti Belawai dan seterusnya mewujudkan limpahan ekonomi kepada kawasan lain di Bahagian Sarikei.

"Fokus pembangunan kita untuk pelancongan ialah di kawasan Belawai kerana ia mempunyai banyak potensi dan juga ada lapangan terbang di Tanjung Manis yang akan kita panjangkan untuk membolehkan pesawat mendarat di sana.

"Apabila kemudahan itu ditambah baik, industri pelancongan yang kita fokuskan boleh memberi limpahan ke kawasan lain di Bahagian Sarikei," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, pembangunan pelancongan di Sarikei perlu memanfaatkan keunikan tarikan tempatan selain menyediakan kemudahan penginapan yang mampu menarik pelancong dari luar negara.

Katanya, pengalaman Sabah menunjukkan pelancong dari negara seperti Korea Selatan dan Jepun mempunyai kecenderungan untuk mengunjungi destinasi unik selain lokasi tumpuan utama.

Abang Johari berkata, pendekatan sama boleh diterapkan di Sarikei dengan menjadikan Belawai dan kawasan sekitarnya sebagai destinasi tambahan yang boleh dikunjungi pelancong selepas tiba di Sarawak.

"Mereka mungkin tidak melihat kawasan pelancongan utama sahaja, tetapi boleh pergi melihat tarikan unik yang ada di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata, perancangan pembangunan bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu dijangka membuka kegiatan ekonomi baharu kepada Sarikei, selain memberi manfaat kepada masyarakat dan sektor perniagaan tempatan.

Katanya, pembangunan infrastruktur strategik serta kemudahan akses merupakan antara asas penting untuk memastikan potensi ekonomi baharu di Sarikei dapat direalisasikan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara menyeluruh.